Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh al-Shahib, Wand Marshall, RJ yang bertajuk The Fruit Of The Date Palm: Its Possible Use As The Best Food For The Future, buah tamar boleh menjadi makanan yang ideal pada masa hadapan. Ia mengandungi 15 jenis garam dan mineral, kaya dengan vitamin, mempunyai kadar karbohidrat yang tinggi iaitu 44-88%, kadar serat antara 6.4-11.5%, kadar protein antara 2.3-5.6%, lemak antara 0.2-0.5% dan minyak antara 0.2-0.5%.
Protein buah tamar dibina dari 23 jenis asid amino, sebahagiannya tidak ditemui dalam buah-buahan yang popular seperti oren, epal dan pisang. Antara mineral yang terdapat dalam buah tamar ialah kalium (potassium), boron, kalsium, kobalt, besi, magnesium, mengenes, fosforus, natrium (sodium), zink dan flourin.
Flourin ialah mineral yang membantu meningkatkan kesihatan gigi. Disamping itu, buah tamar juga mengandungi selenium, sejenis bahan yang diperlukan oleh sistem pertahanan badan, yang mampu mencegah kanser. Berhubung dengan vitamin, antara vitamin yang terdapat dalam buah tamar adalah vitamin A, B1,B2, C dan asid nikotinik.
Justeru, buah tamar dapat dianggap sebagai makanan yang ideal kerana mengandungi pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan manusia. Penemuan ini dilaporkan di dalam International Journal of Food and Science Nutrition, 54(4): 247-259.
Gula yang terdapat dalam buah tamar kebanyakannya adalah daripada kumpulan glukosa dan fruktosa. Gula daripada kumpulan ini dikenali sebagai invert sugars dan antara kelebihannya adalah ia diserap masuk ke dalam badan dengan segera tanpa melalui proses penghadaman seperti mana yang terpaksa dilalui oleh gula yang lain. Tambahan daripada itu, kadar magnesium yang tinggi mampu mencegah kanser. Justeru pakar-pakar mendapati penduduk-penduduk di kawasan Sahara jarang menghidap kanser kerana mereka banyak memakan buah tamar. Fakta-fakta ini dilaporkan di http://www.fao.org/.
Sumber dari:
Quran Saintifik: Meneroka Kecermelangan Quran daripada Teropong Sains
Oleh: Dr. Danial Zainal Abidin